fb fb fb fb fb

SPRM tahan seorang lagi individu, disyaki terlibat rasuah projek lebuh raya

Seorang lagi individu ditahan SPRM disyaki terbabit rasuah membabitkan kerja-kerja menyiapkan satu pakej pembinaan projek lebuh raya

KUALA LUMPUR, 26 Jun- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lagi individu kerana turut disyaki terbabit rasuah membabitkan kerja-kerja menyiapkan satu pakej pembinaan projek lebuh raya bernilai lebih RM1 bilion di Lembah Klang.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Reman selama tiga hari sehingga 28 Jun dikeluarkan ke atas suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu.

Menurut sumber, suspek telah meminta dan menerima rasuah daripada beberapa syarikat sebagai balasan kerana melantik syarikat-syarikat tersebut untuk mengambil alih kerja-kerja menyiapkan lebuh raya berkenaan yang sebelum ini dijalankan oleh satu syarikat lain.

Penahanan suspek susulan tangkapan terhadap lapan individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bersama-sama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya oleh SPRM sebelum ini kerana dipercayai telah meminta dan menerima rasuah membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1.6 bilion.

"Suspek kesembilan ini telah ditahan di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan kira-kira pukul 7.00 malam tadi.

"Jumlah rasuah yang membabitkan kesemua suspek masih lagi dalam siasatan bagaimanapun pembinaan dua (2) projek lebuh raya ini keseluruhannya berjumlah hampir RM11 bilion," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat bawah seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI