fb fb fb fb fb

Tunggang motosikal secara berbahaya, polis tahan tiga remaja

KEMAMAN, 19 Julai- Polis Kemaman menahan tiga remaja lelaki selepas menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya dengan melakukan pelbagai aksi 'wheelie'.
 
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kesemua remaja bawah umur itu ditahan bagi membantu siasatan.

Superintenden Hanyan ketika dihubungi hari ini berkata, kesemua ditahan secara berasingan pada Rabu dan Khamis (semalam) selepas satu video yang memaparkan aksi ketiga-tiga remaja itu yang berdurasi 24 saat tular di laman sosial.
 
Menurut Superintenden Hanyan, video berkenaan dipercayai telah dirakam salah seorang rakan mereka sebelum menularkannya melalui aplikasi Tik Tok, sejak selasa lalu.
 
Superintenden Hanyan berkata, dalam video berkenaan, tiga remaja berkenaan dilihat menunggang motosikal secara melulu dan melakukan pelbagai aksi 'wheelie' di Jalan Mak Lagam - Bandar Cheneh Baru.
 
Menurut Superintenden Hanyan, tindakan tiga remaja terbabit boleh membahayakan nyawa mereka dan juga pengguna jalan raya yang lain.
 
Superintenden Hanyan berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai dilakukan November tahun lalu dan polis turut merampas tiga motosikal yang dipercayai ditunggang mereka ketika kejadian.
 
Hasil semakan mendapati, salah seorang remaja terbabit pernah ditahan April lalu atas kesalahan mengubahsuai motosikal yang digunakan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD