fb fb fb fb fb

Sindiket dadah tumpas, dadah 49.5kg dirampas dan enam lelaki ditahan

Datuk Khaw Kok Chin (tengah) menunjukkan kepada media sebahagian daripada dadah yang dirampas

SHAH ALAM, 19 Julai- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan menyita pelbagai aset sindiket dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM8.3 juta.

Turut ditahan enam lelaki berusia dalam lingkungan 26 hingga 50 tahun.

Ia hasil serbuan serentak yang dilancarkan di sekitar kawasan Negeri Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, sindiket tersebut dipercayai mula aktif sejak awal tahun ini dan menjadikan kenderaan sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diedarkan kepada pelanggan di kawasan Lembah Klang.

"Saringan awal polis mendapati saringan ujian urin kesemua suspek adalah negatif dan semakan rekod jenayah mendapati lima suspek mempunya rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah.

"Dalam masa yang sama tindakan juga diambil bawah Akta Dadah Berbahaya (pelucuthakan harta) bagi tahun 1988,"katanya.

Jelas Datuk Khaw, dalam serbuan tersebut, pelbagai jenis dadah seberat 49.5 kg yang dianggar bernilai RM7.3 juta dirampas.

Wang tunai lebih RM4,000, serta 27 jenis barang kemas bernilai lebih RM50,000 dan pelbagai jenis kenderaan, turut disita.

Kesemua suspek direman selama lima hari bermula semalam hingga 22 Julai bagi membantu siasatan.

Kes disiasat bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE