KUCHING, 11 November – Tokan atau pengedar dadah di Sarawak berdepan hukuman bawah Akta Kesalahan Keselamatan, Langkah-Langkah Khas 2012 (SOSMA).
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, langkah itu merupakan strategi baru yang diperkenalkan bagi membanteras jenayah dadah di negeri itu.
Beliau menjelaskan, di bawah instrumen berkenaan, suspek tidak boleh dijamin sehingga rayuan selesai. “Pendekatan ini bagi mereka yang terlibat dalam jenayah terancang yang jatuh dalam jadual SOSMA. Langkah-langkah keselamatan bukan hanya untuk keganasan sahaja, dadah juga boleh diambil tindakan melalui SOSMA,” katanya.
Pelaksanaan langkah itu dijangka berlaku dalam masa terdekat. Menurutnya, SOSMA telah digunakan di Semenanjung Malaysia bagi kes jenayah dadah.
Sejak menjawat jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak, jumlah tangkapan tokan dadah meningkat 17 peratus berbanding tahun lepas, iaitu 557 tangkapan sehingga Oktober berbanding 476 tangkapan pada tempoh yang sama tahun lalu.
Beliau ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah di pejabatnya di Kuching petang tadi.
Datuk Seri Fatimah pada masa sama menyuarakan penghargaan kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak atas komitmennya dalam membanteras jenayah dadah.