fb fb fb fb fb

Tiga warga Filipina selamat daripada jadi mangsa pemerdagangan manusia

Foto hiasan

LABUAN, 30 April- Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan berjaya menyelamatkan tiga wanita warganegara Filipina yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
 
Seorang lagi mangsa yang melarikan diri ke Penampang Sabah turut diselamatkan dengan bantuan pihak polis daripada Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sabah.

Menurut Ketua Polis Daerah Labuan Superintenden Mohd Hamizi Halim dalam satu kenyataan berkata, OP Pintas berjaya menyelamatkan kesemua mangsa berkenaan yang berusia antara 31 hingga 33 tahun.
 
"Kesemua mangsa yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang iaitu dipaksa bekerja sebagai pelayan di sebuah premis hiburan di pulau ini.
 
"Susulan kes berkenaan, dua suspek wanita iaitu seorang warga tempatan berumur 36 tahun dan seorang lagi warga Filipina berumur 22 tahun telah ditangkap untuk membantu siasatan kes," katanya.
 
Bagaimanapun permohonan perintah reman telah dibuat di Mahkamah Majistret Labuan ke atas suspek warganegara Filipina selama tujuh hari manakala suspek warga tempatan direman selama lima hari.
 
Pada masa sama pihak polis menasihatkan orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah, atau aktiviti pemerdagangan manusia kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI