fb fb fb fb fb

Lelaki terlepas hukuman gantung, isteri dilepas dan dibebaskan

Foto hiasan

GEORGE TOWN, 30 April- Seorang lelaki terlepas hukuman gantung manakala isterinya dibebaskan di Mahkamah Majistret Georgetown atas kesalahan dadah.

Lelaki itu bagaimanapun dikenakan hukuman penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki kanabis seberat 653.38 gram, enam tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah Pulau Pinang, Rofiah Mohamad memutuskan hukuman itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, M. Kummaresan, 30 tahun.

Selain itu tertuduh turut dikenakan hukuman penjara dua tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tambahan iaitu pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamin seberat 4.85 gram.

Hakim memerintahkan hukuman penjara bagi kedua-dua kesalahan itu berjalan serentak dan ia bermula dari tarikh ditangkap pada 13 April 2019.

Hukuman 10 sebatan turut dikenakan atas kesalahan tersebut.

Bagaimanapun isteri Kummaresan, A. Sharnia, 30 tahun yang dituduh secara bersama-sama melakukan kesalahan itu dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, Kummaresan didakwa memiliki kanabis seberat 653.38 gram di sebuah rumah di Lebuh Sungai Pinang, George Town, kira-kira pukul 1.10 pagi, pada 13 April 2019.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 6 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama.

Sekiranya sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan minimum 10 sebatan.

Bagi pertuduhan tambahan pula, Kummaresan dituduh telah memiliki dadah jenis methamphetamin seberat 4.85 gram, dan kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi dan masa yang sama dengan pertuduhan pilihan.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 12 (3) Akta yang sama.

Bagi pertuduhan utama, Kummaresan didakwa mengedar dadah berkenaan dan mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhamisah  S.H. Sahul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam, Pravin Mahentharan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI