fb fb fb fb fb

Tiga sekeluarga maut: Suspek bakar rumah direman tujuh hari

Perintah tahanan reman selama tujuh hari sehingga 20 Ogos terhadap suspek berusia 48 tahun itu dikeluarkan Majistret, Fatin Dalilah Khalid bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

MUAR, 14 Ogos- Mahkamah Majistret Muar hari ini membenarkan reman ke atas seorang suspek kes bunuh dan bakar rumah keluarganya sehingga menyebabkan kematian ibu bapa serta anak saudaranya di Kampung Paya Redan di Pagoh, Jumaat lalu.

Perintah tahanan reman selama tujuh hari sehingga 20 Ogos terhadap suspek berusia 48 tahun itu dikeluarkan Majistret, Fatin Dalilah Khalid bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Suspek yang masih bujang itu menjadi buruan polis berjaya ditahan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 1 pagi tadi, selepas dilapor menghilangkan diri sejak Jumaat lalu.
 
Dia dipercayai melarikan diri dengan menaiki bas menuju Kuala Lumpur, dan meninggalkan motosikalnya di Hentian Bas Bentayan, Muar.
 
Penahanan itu dibuat oleh sepasukan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah (BJSD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar selepas menerima maklumat awam.

Dalam kejadian 9 Ogos lalu, ibu bapa suspek, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76 tahun bersama cucu mangsa, Noradriana Nor Hisyam, 11, maut selepas rumah mereka hangus dalam kebakaran.

Bedah siasat terhadap jenazah Noradriana mendapati terdapat kesan retakan di kepala dipercayai dipukul dengan kayu.

Selain itu, Norazmina yang juga kakaknya masih menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah turut cedera di kepala dan menerima lapan jahitan, selain patah pergelangan tangan kanan.

Siasatan kes itu pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun bertukar kes bunuh berikutan laporan bedah siasat ke atas jenazah mangsa.


 

ZEHRA BINTI ZAMBRI