SEREMBAN, 14 Ogos- Seorang pembantu tadbir sebuah Kolej Vokasional di Rembau didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bernilai RM22,058.60 pada tahun 2022 dan tahun lalu.
Tertuduh, Foziana Isa, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai ejen kerajaan iaitu pembantu tadbir dengan niat memperdayakan prinsipalnya iaitu Kolej Vokasional Datuk Undang Haji Muhammad Sharip dengan dokumen baucar bayaran pembekalan barang keperluan pejabat berjumlah RM4,757.10 pada 5 Disember 2022 dan RM17,301.50 pada 6 Januari 2023.
Tertuduh didakwa mempunyai sebab mempercayai dokumen tersebut mengandungi butir matan palsu
yang mana sebenarnya pembekalan tersebut tidak dibuat dan dimaksudkan untuk mengelirukan prinsipalnya.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) akta yang sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM Seremban pada Sabtu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes pada 13 September depan.