fb fb fb fb fb

Tiga pengusaha lori lebih muatan didenda RM26,000

FOTO JPJ PERLIS

KANGAR, 21 Jun- Mahkamah Majistret Kangar menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM26,000 terhadap tiga orang pengusaha lori iaitu antara RM9,000 dan RM8,000 seorang atas kesalahan membawa muatan secara berlebihan.

Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 57(1) (b)(vii) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Majestret, Norshahida Abdul Rahim menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM9,000 masing-masing kepada dua pengusaha lori yang membawa muatan batu kerikil dan serbuk atau debu simen.

Seorang lagi pengusaha lori membawa muatan kayu dikenakan hukuman denda sebanyak RM8,000.

Hukuman itu dikenakan setelah mahkamah mendengar hujahan pihak pendakwaan dengan fakta kes bahawa kesalahan terbabit merupakan kesalahan kerap dilakukan oleh pengusaha lori bagi mengaut keuntungan tanpa menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis, Vinish Inden Kliew. Ketiga-tiga mereka menjelaskan hukuman denda tersebut.

SITI AISHAH MD ISA