fb fb fb fb fb

Perdaya warga emas, penganggur dihadapkan ke mahkamah

Norhana Adam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas tuduhan memperdaya seorang warga emas

AYER KEROH, 21 Jun- Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas tuduhan memperdaya seorang warga emas bagi tujuan melepaskan seorang pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang tidak wujud sejak tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Norhana Adam, 38 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati memperdayakan Ab Karim Hasan, 64 tahun berkenaan seorang pegawai AADK Negeri Melaka yang tidak wujud telah ditahan dan akan ditukarkan ke AADK Sabah atau Sarawak pada September 2023 hingga Jun 2024.

Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah sebuah kedai makan berhampiran Stadium Hang Jebat hingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang berjumlah RM416,000 sebagai dorongan untuk mengelakkan pegawai AADK tersebut ditukarkan.

Tertuduh didakwa bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh di penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan rendah dikenakan kerana dia tidak bekerja dan menanggung ibunya yang sakit.

Hakim Rohatul Akmar kemudian menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu hadir ke balai sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi serta mangsa sepanjang perbicaraan berlangsung.

6 Ogos depan ditetapkan sebagai tarikh bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI