JOHOR BAHRU, 4 Disember- Tiga individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan mengedar dadah seberat 23.541 Kilogram (kg) bulan lalu.
Tertuduh Datuk Loong Chan Yow, 46; Chai Choon Foo, 54 dan Wong Fook Loy; 46 mengangguk faham, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R Salini, namun tiada pengakuan direkodkan.
Manakala dua lagi tertuduh warga Myanmar, Win Min Hliang 30 tahun dan Kaung Myat Phyoe 26 tahun yang sepatutnya didakwa secara bersama hari ini akan dibacakan pertuduhan pada 23 Januari hadapan, bersama laporan kimia dan jurubahasa Myanmar.
Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa mengedar dadah jenis serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat kasar, 22.5 kilogram bagi pertuduhan pertama.
Manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga sebanyak 368 gram pil MDMA serta 673 gram serbuk MDMA.
Kesalahan itu dilakukan pukul 11 pagi di lot tidak bernombor Jalan Sagai 6, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor pada 27 November lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu. Manakala semua tertuduh termasuk warga Myanmar diwakili peguam, Mohd Hamizi Mohd Yusof.
Mahkamah menetapkan 23 Januari sebagai tarikh laporan kimia dan jurubahasa bagi dua tertuduh warga Myanmar.