fb fb fb fb fb

Terpedaya pelaburan tidak wujud, pembantu kedai rugi RM521,000

Foto Hiasan

KUANTAN, 5 Februari- Seorang pembantu kedai berputih mata selepas mengalami kerugian sebanyak RM521,000 akibat terpedaya dengan pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 39 tahun itu pada mulanya tertarik untuk menyertai skim pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan 15 peratus menerusi laman Facebook pada Disember lepas.

Beliau berkata mangsa kemudiannya telah membuat pendaftaran melalui laman web "JTFSE" yang merupakan platform saham bagi tujuan pelaburan sebelum berjaya mengeluarkan wang keuntungan sebanyak RM1,000 selepas melabur sejumlah RM50,000.

"Seterusnya mangsa telah menggunakan wang simpanan dan pinjaman daripada ahli keluarga untuk memindahkan wang berjumlah RM521,000 dengan 15 transaksi ke empat akaun yang berbeza bermula 25 Jan hingga Sabtu lepas.

"Bagaimanapun, mangsa menyedari dirinya ditipu setelah gagal mengeluarkan keuntungan berjumlah RM 1,767,258 melalui laman web berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu beliau menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud dan jangan muda terpengaruh dengan pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI