fb fb fb fb fb

Telefon bimbit Chegu Bard, Papagomo dan Salim Iskandar disita SKMM

Badrul Hisham Shaharin (kiri), Mohamad Salim Iskandar (tengah) dan Wan Muhammad Azri Wan Deris (kanan) hadir untuk dirakam percakapan/Foto MCMC

KUALA LUMPUR, 18 April - Telefon bimbit milik Chegu Bard, Papagomo, dan Salim Iskandar disita Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) hari ini.

MCMC menerusi kenyataan hari ini berkata, rampasan itu bagi membantu siasatan berhubung kandungan dimuat naik oleh mereka di media sosial yang didakwa tidak benar.

"Peranti milik ketiga-tiga individu itu disita ketika mereka hadir untuk dirakam percakapan hari ini.

"Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin dan Mohamad Salim Iskandar dirakam percakapan di Pejabat MCMC Cyberjaya manakala Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo di Balai Polis Setapak," katanya.

MCMC berkata, penyebaran kandungan tidak benar dengan niat mengganggu pihak lain adalah melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Katanya, kertas siasatan akan diserahkan ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Orang ramai diingatkan tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu," katanya.

Pada Januari lalu, media melaporkan bahawa tiga individu sama pernah tampil memberi keterangan berhubung dakwaan terbabit dalam komplot untuk menggulingkan kerajaan yang dikenali sebagai Langkah Dubai di balai polis Setapak.

GRACE AISYAH KEDAYAN