fb fb fb fb fb

Kastam Kelantan rampas kenderaan klon, motosikal seludup

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas enam buah kenderaan klon dan mematahkan cubaan menyeludup lima motosikal dari negara jiran

KOTA BAHRU, 18 April - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas enam buah kenderaan klon dan mematahkan cubaan menyeludup lima motosikal dari negara jiran.

Pengarah Kastam Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata barangan tersebut dibawa masuk secara persendirian atau melalui sindiket yang beroperasi di negeri bersempadan dengan negara tersebut.

Beliau berkata, antara kenderaan yang dirampas ialah motosikal jenis RXZ terpakai yang diseludup melalui pengkalan haram di sepanjang Sungai Golok.

"JKDM kelantan telah berjaya merampas enam buah kenderaan klon dan dua buah motosikal berkuasa tinggi dari negara jiran dan dalam operasi yang sama juga berjaya menggagalkan penyeludupan tiga buah motosikal jenis RXZ terpakai dari negara jiran.

"Operasi yang dijalankan ini bukan hanya tertumpu di negeri Kelantan sahaja tetapi meliputi negeri-negeri lain termasuk di negeri Selangor, Johor Bharu, Kedah dan Kelantan. Anggaran nilai dan cukai semasa yang terlibat dianggarkan berjumlah RM579,418," katanya pada sidang media, di sini.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1957.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN