fb fb fb fb fb

Bekas guru bercuti ke Thailand kini dikurung scammer di Myanmar

Sidang akhbar bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini

KUALA LUMPUR, 18 April - Seorang bekas guru di Johor Bahru menjadi mangsa kepada sindiket pemerdagangan manusia ketika bercuti di Thailand dedah Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, berkata wanita itu kini dikurung oleh sindiket scammer di Myawaddy, Myanmar.

Ibu mangsa yang berkongsi kisah tragedi itu berkata, bahawa anaknya Sia, 25, telah bercuti ke Thailand bersama seorang kenalannya pada 2 April lalu.

Menurut ibu mangsa, mangsa dikenalkan kepada seorang ejen untuk membeli tiket penerbangan dua hala dari Thailand ke Malaysia.

Bagaimanapun, keluarga mangsa mendakwa bahawa tiket perjalanan balik ke Malaysia tidak wujud.

“Anak saya ke Thailand untuk bercuti bersama kenalan yang belajar di sebuah universiti di Taiwan. Bagaimanapun, selepas tiba di Thailand, dia telah ditidurkan oleh seseorang.

“Dia hanya menyedari dirinya berada di Myawaddy selepas mengemaskini lokasi menerusi telefon bimbitnya sebelum menghubungi kami (keluarga) di Malaysia pada keesokkan harinya (3 April).

“Walaupun dikurung oleh sindiket, namun anak saya masih boleh berkomunikasi dan kali terakhir kami bermesej adalah pagi tadi,” katanya pada sidang akhbar bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini hari ini.

Tambah ibu mangsa, setakat ini anaknya tidak didera dan tiada sebarang tebusan diminta oleh pihak sindiket.

GRACE AISYAH KEDAYAN