fb fb fb fb fb

Tauke restoran didakwa beri rasuah RM18,000 kepada pegawai polis marin

FOTO RTM

JOHOR BAHRU, 7 Oktober- Seorang peniaga kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan memberi rasuah sebanyak RM18,000 kepada seorang pegawai polis, empat bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Sioh Poh Keong, 51, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa secara rasuah memberi suapan wang tunai RM18,000 kepada Inspektor Risikan dan Operasi, Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Johor sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya yang menyimpan minuman keras tidak bercukai kastam.

Perbuatan tersebut dilakukan tertuduh di Taman Air Biru, Pasir Gudang, 2.30 petang, 19 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili Peguam K Bharathi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 serta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan kes, ditetapkan  10 November depan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE