fb fb fb fb fb

Pegawai rendah imigresen mengaku tidak bersalah terima rasuah RM55,150

FOTO RTM

JOHOR BAHRU, 7 Oktober- Seorang pegawai imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas 10 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM55,150 antara November tahun lalu sehingga Februari lalu.

Pengakuan dibuat tertuduh, Mohd Edisahril Mohd Noor, 41 tahun di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Pejabat Imigresen Bangunan Sultan Iskandar(BSI),Johor Bahru didakwa secara rasuah menerima  suapan antara RM3,000 sehingga RM10,000 daripada seorang individu yang diketahui ada hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Pegawai Imigresen KP22.

Semua suapan berjumlah RM55,150 itu sebagai dorongan kepada tertuduh memudahkan kemasukan penumpang warga Indonesia ke Malaysia tanpa perlu mematuhi syarat ditetapkan Akta Imigresen 1959.

Perbuatan tertuduh dilakukan di sebuah bank cawangan Bandar Baru Uda, Johor Bahru antara 4 November 2023 sehingga 23 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia( SPRM) 2009 dan boleh dihukum.mengikut

Pada prosiding sama, tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas 10 tuduhan pilihan iaitu setuju terima semua wang suapan di lokasi dan tarikh sama dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili Peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak 10 ribu ringgit berserta dua syarat tambahan pendakwaan.

Sebutan kes ditetapkan, 10 November depan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE