KUANTAN, 10 Februari- Polis Pahang berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 275.4 kilogram (kg) bernilai lebih RM8.8 juta dalam satu operasi di daerah Lipis, pada 6 Februari lalu, sekali gus melumpuhkan sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri itu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, operasi bermula susulan laporan kemalangan langgar lari di Kampung Pagar Sasak melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah motosikal.
Beliau berkata dua lelaki berusia 67 dan 31 tahun telah ditahan dan hasil pemeriksaan ke atas MPV tersebut menemukan 13 bungkusan plastik hitam berisi 261 bungkusan plastik lutsinar dengan tulisan Cina dan menggunakan label 'Chrysanthemum Tea'.
"Langgar lari, tetapi kejadian tersebut dilihat oleh penduduk, orang orang awam yang ada di sekitar. Mereka telah mengejar kenderaan tersebut, sebab kenderaan itu salah satu daripada tayarnya telah pecah, jadi MPV itu tidak boleh bergerak laju.
"Dalam keadaan masa yang tersebut juga telah dimaklumkan kepada pihak polis dan pada masa yang sama pihak polis telah sampai ke tempat kejadian dan juga telah menahan suspek. Dalam masa yang sama ada rakan suspek datang ke tempat kejadian dan pihak polis juga telah menahan mereka", katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.
Hasil siasatan mendapati, kedua-dua suspek berperanan sebagai penghantar dengan kadar upah yang tinggi.
Jelas beliau, dadah terbabit dipercayai untuk diedarkan ke Lembah Klang. Dadah seberat 275.4 kg dari negara jiran itu, mampu menampung keperluan lebih 520,000 penagih sehari.
Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sehingga 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 7 Februari bagi membantu siasatan.