fb fb fb fb fb

SPRM tahan dua ketua jabatan di Melaka disyaki kemuka tuntutan palsu

Foto Hiasan

MELAKA, 5 Februari- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua ketua jabatan Persekutuan, masing-masing seorang lelaki dan wanita serta seorang pengarah syarikat di Melaka kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berkaitan program anjuran jabatan dan perpindahan pada 2023.

Menurut sumber, suspek lelaki dipercayai menggunakan dokumen invois bagi tujuan tuntutan palsu pembayaran program jabatan pada 2023 berjumlah kira-kira RM24,900.

“Suspek dipercayai menjadi perancang utama dan berpakat dengan pengarah syarikat terbabit untuk menggunakan invois yang mengandungi butir palsu iaitu tuntutan pembekalan sedangkan pembekalan itu tidak pernah dilaksanakan bagi program yang dianjurkan tahun lepas.

“Seorang lagi suspek (wanita) membuat tuntutan palsu berkaitan perpindahan berjumlah kira-kira RM6,000 kepada jabatannya,” katanya sambil menambah kesemua suspek ditahan di Pejabat SPRM Melaka pada 2.30 petang tadi ketika memberi keterangan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Saad mengesahkan penahanan suspek terbabit dan tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa penjawat awam kedua-dua jabatan untuk memberi keterangan.

Beliau turut menyatakan kebimbangan kerana ketua jabatan sepatutnya berpegang kepada prinsip amanah dan akauntabiliti dalam membersihkan jabatan mereka daripada sebarang perlakuan rasuah serta salah guna kuasa dan bukannya menjadi "duri dalam daging" di jabatan masing-masing.

Mohd Shahril berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan kebenaran permohonan reman.- BERNAMA

ZEHRA BINTI ZAMBRI