fb fb fb fb fb

Sindiket seludup ayam sabung tumpas di Tawau

FOTO RTM

TAWAU, 20 Julai - Satu sindiket penyeludupan ayam sabung yang aktif di Tawau berjaya dipatahkan dalam serbuan mengejut di dua lokasi berasingan, sekali gus membawa kepada rampasan terbesar berkaitan aktiviti sabung ayam haram di Sabah setakat ini.

Serbuan dilakukan di Kampung Mambalua Off Jalan Apas dan Kampung Kuala Apas, Tawau pada Jumaat.

Operasi Bersepadu Khazanah yang dijalankan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) itu turut membawa kepada penahanan lima individu, melibatkan seorang warga tempatan dan empat warga asing berusia antara 31 hingga 57 tahun, yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

Pengarah JKDNKA, Pesuruhjaya Polis Datuk Sri Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya turut merampas sebanyak 632 ekor ayam sabung baka Filipina, 40 bilah pisau taji ayam sepanjang tujuh sentimeter, 130 kotak pelbagai jenis vitamin, dan 500 unit sangkar reban ayam.

Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM3.29 juta, menjadikan ia antara rampasan terbesar berkaitan aktiviti sabung ayam haram di negeri ini.

Premis yang dipercayai telah beroperasi sejak empat tahun lalu itu turut dikenal pasti sebagai pusat penyeludupan baka ayam dari negara jiran serta bertindak sebagai pembekal utama kepada individu yang terlibat dalam aktiviti perjudian sabung ayam di seluruh Sabah.

Difahamkan, kadar sewa ayam sabung ditetapkan antara RM800 hingga RM2,000, manakala harga jualan bagi setiap ekor ayam sabung mencecah antara RM2,000 hingga RM5,000.

"Operasi turut disertai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Cawangan Tawau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, haiwan berkenaan dipercayai diseludup masuk dari Filipina dan dilatih secara intensif untuk pertarungan sabung ayam, lengkap dengan penjagaan rapi serta suplemen kesihatan.

Polis turut merampas senjata tajam berupa bilah yang diikat pada kaki ayam semasa pertarungan. Bilah tersebut dipercayai dibekalkan oleh pembekal tempatan pada harga RM200 seunit. Dalam pertandingan, ayam yang maut akibat terkena bilah dianggap tewas dan pihak penyewa perlu membayar sejumlah wang seperti yang ditetapkan dalam syarat sewaan.

Pemeriksaan lanjut turut membawa kepada penemuan premis sabung ayam yang beroperasi secara tertutup di kawasan seluas 1.5 ekar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1), Enakmen Haiwan 2015; Seksyen 55B, Seksyen 39B serta Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63; selain Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958.

Polis menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti sabung ayam atau sebarang bentuk penganiayaan haiwan, selain menekankan bahawa perbuatan tersebut adalah bertentangan dengan undang-undang, nilai kemanusiaan dan prinsip keagamaan.

Tangkapan tersebut turut membuktikan keberkesanan risikan bersepadu dan komitmen berterusan pihak polis dalam membanteras sindiket penyeludupan haiwan serta kegiatan perjudian haram.

Terdahulu, dari 1 Januari hingga 15 Julai 2025, PDRM bersama agensi berkaitan telah melaksanakan sebanyak 173 serbuan di seluruh negara, menahan 306 individu dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM544.7 juta.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE