PUTRAJAYA, 30 Ogos - 11 lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga India ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi khas di empat lokasi sekitar ibu negara, pada Khamis.
Kesemua mereka disyaki terlibat dalam sindiket ejen haram yang menawarkan perkhidmatan imigresen secara tidak sah.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha berkata sindiket tersebut berjaya ditumpaskan hasil risikan selama dua minggu pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM.
Katanya, sebanyak 530 pasport pelbagai negara dan wang tunai melebihi RM13,000 turut dirampas.
"Modus operandi adalah menawarkan perkhidmatan urusan dengan JIM, termasuk pembaharuan dokumen pasport, pas lawatan sosial, lawatan kerja sementara, Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) dan visa kepada warganegara asing," katanya pada sidang media, di sini.
Tambah Jafri, sindiket turut mengenakan bayaran sebanyak RM500 bagi setiap perkhidmatan yang ditawarkan.
Selain warga asing yang ditahan, seorang wanita tempatan dipercayai pemilik syarikat turut ditahan dalam operasi tersebut.
Kesemua warga asing yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(3), Sub Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63, Sub Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966, dan Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Manakala wanita tempatan itu pula disiasat di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1969/63 dan Sub Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.