fb fb fb fb fb

Sindiket akaun bank: Dua pegawai bank antara 16 ditahan polis

Hussein Omar Khan (kiri) menunjukkan kad ATM yang dirampas polis

SHAH ALAM, 29 Mac- Dua pegawai bank antara 16 individu yang ditahan kerana disyaki terlibat sindiket jual-beli akaun bank dan kad mesin juruwang automatik (ATM).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu dan berperanan mencari individu yang mahu membuka akaun serta menjadi 'keldai akaun'.

Sebanyak 40 akaun didapati telah dibuka dengan lima daripadanya dipercayai terlibat dalam 15 kes penipuan dalam talian melibatkan kerugian RM2.3 juta.

"Mereka akan mendekati mana-mana individu yang boleh buat akaun, dengan bantuan pegawai bank ini, mereka daftar (akaun), maksudnya ia ada macam 'runner', orang tengah dan individu.

"Individu ini akan dapat bayaran dalam RM500 hingga RM1,500 (sekali bayar). Sindiket yang kumpul kad ATM akan jual kepada sindiket penipuan 'online' (dalam talian). Mereka jual satu kad dengan harga RM8,000.

"Kad ATM tidak dipegang oleh individu, maksudnya dia buka akaun (kemudian) terus beri kad ATM dengan kata laluan kepada sindiket," katanya pada sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di sini.

Hussein Omar turut berkata, salah seorang suspek didapati memiliki rekod jenayah lampau dan pernah dikenakan tindakan perintah sekatan bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) pada 2021.

Polis turut merampas peralatan dipercayai digunakan dalam kes tersebut antaranya 30 keping kad ATM pelbagai bank, 31 unit telefon bimbit, komputer riba dan fail mengandungi pelbagai dokumen.

Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mudah terperdaya dengan tawaran bagi tujuan pembelian atau penyewaan akaun bank kerana aktiviti itu merupakan kesalahan di sisi undang-undang.

SITI AISHAH MD ISA