fb fb fb fb fb

Seorang lelaki ditahan, 56.2 kg ganja dirampas

Foto RTM

KUANTAN, 18 Jun-Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah jenis ganja di kawasan sekitar Kuantan, Pahang.

Serbuan yang dilakukan di tepi jalan, Lorong Seri Mahkota Permai, Kuantan pada 15 Jun lalu berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun.

Menurut Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin, lelaki terbabit ditahan ketika operasi yang dijalankan pada pukul 1.30 tengah hari.

"Kita telah berjaya merampas 54 ketulan mampat dedaun kering kehijauan disyaki dadah jenis ganja anggaran seberat 56.2 kilogram, dianggarkan bernilai RM173,600 di pasaran. turut dirampas sebuah motokar jenis perodua Myvi yang dinaiki oleh suspek", katanya.

Ujar Noor Hisham, hasil saringan ujian air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai 13 rekod lampau bagi kesalahan dadah.

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan sebatan tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Suspek direman selama tujuh hari bermula 16 Jun hingga 22 Jun 2024 bagi membantu siasatan.

Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas, boleh digunakan oleh seramai 56,223 penagih dadah dengan analisa penggunaan 1.0 gram bagi dadah jenis ganja.

Sementara itu, Noor Hisham berkata Polis Pahang masih meneruskan siasatan berhubung kes kemalangan bas persiaran dan sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat pada 9 Jun lalu.

Status masih lagi untuk melengkapkan kertas siasatan dan laporan post mortem sebelum dituduh di mahkamah.

"Jadi, masih lagi dalam tindakan. kita pun tengah merujuk kepada pejabat peguam negara,timbalan pendakwa raya dan menunggu arahan selanjutnya", katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Berdasarkan rekod bas tersebut membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu terbalik di cerun selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gegelung besi.

Empat mangsa terkorban dalam nahas jalan raya itu iaitu guru, Hasnatul Adilah Hassan, 48; guru, Dahlia Ahmad, 52; kelindan bas, Hadi Asyraf Mad Idris, 29, dan Pembantu Operasi, Hamzah Ahmad, 60.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa rombongan guru-guru SK Jeram, Masjid Tanah, Melaka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD