fb fb fb fb fb

Kes keracunan makanan, Polis ambil keterangan 15 individu

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir/Foto RTM

GOMBAK, 18 Jun- Polis sudah mengambil keterangan 15 individu, termasuk pengusaha katering bagi membantu siasatan kes keracunan makanan yang menyebabkan dua kematian pada 10 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata mereka terdiri 15 individu membabitkan penganjur, ahli jawatankuasa, pengetua sekolah dan penyedia makanan.

Mangsa lain yang mengalami keracunan makanan pula dalam tindakan untuk dirakam percakapan mereka hari ini.

Minggu lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan seramai 82 daripada 247 orang mengalami gejala keracunan makanan selepas bersarapan pada Program Kemahiran Amal Islami (KAMIL) Peringkat Daerah Gombak.

Dua mangsa yang meninggal dunia, seorang kanak-kanak perempuan berusia 19 bulan dan remaja lelaki berusia 17 tahun.

Mereka dipercayai makan bihun goreng dan telur 'mata' yang disediakan untuk satu program di sebuah sekolah agama di Sungai Chinchin, Gombak, pada 8 Jun sebelum disahkan meninggal dunia.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD