fb fb fb fb fb

Sabitan bersalah Paul Yong kekal, hukuman penjara dikurangkan

Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan hukuman penjara daripada 13 tahun kepada lapan tahun dengan dua sebatan terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong Choo Kiong atas kesalahan merogol pembantu rumahnya, lima tahun lepas/Foto BERNAMA

 PUTRAJAYA, 1 Mach - Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan hukuman penjara daripada 13 tahun kepada lapan tahun dengan dua sebatan terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong Choo Kiong atas kesalahan merogol pembantu rumahnya, lima tahun lepas.

Dalam keputusan majoriti 2 – 1, Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel dengan Hakim Datuk Azman Abdullah mengesahkan Yong disabitkan bersalah, manakala Hakim Datuk S.M. Komathy Suppiah menentang keputusan itu.

Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi di Ipoh, Perak mendapati Yong bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di sebuah bilik di rumahnya di Ipoh antara pukul 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh disebat.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman selepas peguam Yong, Datuk Rajpal Singh memberitahu mereka berhasrat merayu keputusan hari ini ke Mahkamah Persekutuan.

Ketika membacakan keputusan majoriti, Hakim Azman berpendapat bahawa hakim bicara tidak terkhilaf dalam keputusannya mensabitkan perayu (Yong).

"Kami mendapati bahawa hakim Mahkamah Tinggi yang arif tidak akan terkhilaf dalam keputusannya. Kami juga mendapati tiada merit dalam rayuan perayu. Kesalahan telah dibuktikan dan keputusan Mahkamah Tinggi disahkan. Justeru, kami menolak rayuan terhadap sabitan," katanya.

Menurut Hakim Azman, hakim bicara Mahkamah Tinggi turut mendapati mangsa ialah seorang saksi yang boleh dipercayai.

"Hakim bicara mendapati bahawa perayu mempunyai peluang untuk merogol mangsa ketika dia bersendirian," katanya.

Hakim Azman berkata hakim bicara juga mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan isteri perayu meninggalkan rumah mereka untuk pergi ke restoran makanan segera dan perayu mempunyai peluang untuk merogol mangsa ketika tinggal seorang diri.

"Perayu dan mangsa ditinggalkan di rumah kira-kira 30 minit. Tiada bukti lain daripada perayu yang menyatakan bahawa rumahnya dipecah masuk atau mangsa melakukan hubungan seks dengan lelaki lain.

"Oleh itu, kesimpulan (yang dapat dibuat) bahawa koyakan pada selaput dara dan melecet pada faraj adalah disebabkan oleh perayu seperti yang didakwa mangsa," katanya.

Menurut Hakim Azman, hakim bicara telah menolak pembelaan perayu atas sebab pembelaan itu ialah sesuatu yang difikirkan kemudian dan bersifat penafian kosong.

Beliau turut menegaskan bahawa hakim bicara tidak melanggar Seksyen 182A Kanun Prosedur Jenayah dengan tidak mempertimbangkan kenyataan perayu kepada polis yang menafikan perbuatan itu.

Sementara itu, Hakim Komathy ketika membacakan keputusan minoriti berkata perayu tidak mendapat perbicaraan yang adil di Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata semasa perbicaraan, mangsa telah menutup muka, yang menjadikan halangan kepada peguam perayu untuk menentukan riak muka dan bahasa tubuh ketika wanita itu menjawab soalan.

"Perbicaraan ini tidak adil dan perayu telah dinafikan hak asasinya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil," katanya.

Hakim Komathy berkata tiada bukti asid deoksiribonuklekik (DNA) untuk mengaitkan perayu melakukan perbuatan rogol terbabit.

"Saya berpendapat bahawa sabitan perayu adalah tidak selamat dan tidak memuaskan. Saya membenarkan rayuan dan mengetepikan sabitan terhadap perayu," katanya.

Ketika ditemui selepas prosiding itu, seorang lagi peguam Yong Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata mereka menghormati keputusan hari ini tetapi akan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan dan mendapatkan pembebasan penuh.

"Kami menghormati keputusan majoriti. Pada masa sama, terdapat perbezaan pendapat yang kukuh diberikan oleh Hakim Komathy. Perkara ini akan dibawa ke Mahkamah Persekutuan dan semua isu akan dibincangkan semula," kata Hisyam.- BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN