KUCHING, 1 Mac - Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited membanteras sindiket jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran dengan memberi pendedahan kepada pegawai kanan polis melalui kursus Penguatkuasaan Akta AntiPemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom).
Timbalan Pengarah Siasatan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihak polis akan bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Polis Asean (Aseanapol) dalam usaha mengesan rakyat negara ini yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di beberapa negara Asia.
Katanya, PDRM juga akan berkolaborasi dengan Kementerian Luar Negeri (KLN) bagi membantu mempercepatkan proses menyelamatkan mangsa-mangsa di luar negara.
"Kerjasama perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan permohonan bantuan menyelamatkan mangsa pada masa akan datang sekali gus mengkoordinasikan penyiasatan bersama bagi membanteras jenayah penipuan kerja," katanya selepas Majlis Perasmian Penutupan Kursus Penguatkuasaan Atipsom (KBSJD) Zon Sabah Dan Sarawak Tahun 2024 di sini, hari ini.
Terdahulu seramai 48 orang peserta mengikuti kursus Atipsom yang terdiri daripada pegawai kanan JSJ PDRM zon Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata kursus selama 6 hari itu bertujuan memperkasakan Bahagian JSJ dalam mengendalikan kes-kes atipsom yang berlaku selain mengenalpasti sejauh mana siasatan dijalankan mengikut peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan.
Program dilaksanakan selama lima hari bermula 25 Februari hingga 1 Mac. Kali terakhir kursus seumpama itu diadakan adalah pada tahun 2020 yang lalu.