fb fb fb fb fb

Anak Sarawak sasaran sindiket penipuan tawaran pekerjaan luar negara

Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa/Foto BERNAMA

KUCHING, 1 Mac - Rakyat Sarawak antara menjadi sasaran sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara, dedah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, anak Sarawak menjadi mangsa penipuan yang tertinggi selain Penang, Selangor dan Kuala Lumpur.

Katanya, dari tahun 2021 sehingga 23 Februari lalu, sebanyak 354 laporan polis diterima berkaitan jenayah penipuan pekerjaan.

459 orang warga Malaysia menjadi mangsa dan daripada jumlah itu seramai 326 orang telah berjaya diselamatkan manakala 133 orang masih lagi terkandas di luar negara.

"Oktober tahu lalu, seramai 43 rakyat Malaysia diselamatkan oleh polis Republik Peru dengan 40 daripadanya adalah mangsa dari Sarawak.

"Kes yang melibatkan anak Sarawak pula, sebanyak 54 kes direkodkan yang melibatkan seramai 83 orang mangsa.

"Daripada jumlah tersebut seramai 64 mangsa telah berjaya diselamatkan. Manakala terdapat 19 lagi mangsa terkandas di beberapa buah negara," katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Kursus Penguatkuasaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) yang disempurnakan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, di sini, pada Jumaat.

Setakat ini pihak polis mengenalpasti 16 yang pernah menjadi mangsa penipuan pekerjaan, terkandas semula di luar negara.

Katanya, 16 individu terbabit dikenal pasti kini terkandas di Dubai, Thailand, Amerika Syarikat (AS), Kemboja, Singapura, Vietnam, Australia dan Filipina.

Susulan itu, pihaknya bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Wisma Putra dan polis negara terbabit bagi mengesan lokasi sebenar mangsa seterusnya menyelamatkan mereka untuk dibawa balik ke Malaysia.

Beliau turut menasihatkan semua warga Malaysia supaya berhati- hati dalam menerima tawaran kerja, sama ada di dalam atau di luar negara.

"Kurang kesedaran serta mudah percaya dengan janji menarik itu menyebabkan mereka sanggup mengambil risiko menerima tawaran," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN