KUCHING, 2 Mac- Polis menerima 354 laporan berkaitan jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara sejak 2021 hingga 23 Februari lalu.
Seramai 459 mangsa warga Malaysia yang terjerat dengan sindiket penipuan itu.
Daripada jumlah berkenaan 326 daripadanya berjaya diselamatkan, manakala 133 lagi masih terkandas di luar negara.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya melaksana pelbagai pendekatan untuk membanteras jenayah berkenaan.
"Ia termasuk melakukan risikan dan operasi dengan fokus memburu dalang utama yang merekrut warga tempatan.
"Kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasa luar negara dan kementerian luar di negara-negara terlibat turut dilaksanakan," katanya.
Bagaimanapun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai jenayah berkenaan, program pencegahan menerusi media sosial giat dijalankan.
Perkara itu disebabkan platform tersebut menjadi tempat sindiket menawarkan pekerjaan di luar negara hingga menyebabkan mangsa terpedaya.