fb fb fb fb fb

Kilang lepas Efluen perindustrian didenda RM20,000

Foto RTM

KULIM, 3 Mac - Sebuah syarikat pengeluar produk sarung tangan hari ini didenda sebanyak RM20,000.00 atas kesalahan berkaitan pencemaran air.

Hakim Mahkamah Sesyen Kulim, Puan Mirza Mohamad menjatuhkan hukuman tersebut selepas Pengurus Syarikat yang mewakili syarikat berkenaan selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, pada 23 Mei 2023, pada pukul jam 9.00 pagi hingga pukul 10.25 pagi, syarikat didapati telah melepaskan efluen perindustrian ke dalam longkang awam yang mempunyai kandungan Keperluan Oksigen Kimia (COD) berkepekatan sebanyak 1280 mg/L melebihi had 80 mg/L di premis yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Padang Meha, Padang Serai, Kedah Darul Aman.

Bagi kesalahan berkenaan, syarikat sarung tangan berkenaan didakwa mengikut Peraturan 12(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 32, Peraturan yang sama.

Kesalahan itu dikesan selepas pasukan penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah menjalankan penguatkuasaan Akta Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-peraturan di bawahnya di syarikat berkenaan.

Ketika pertuduhan dibacakan, pengurus syarikat memohon hukuman diringankan dengan alasan pihaknya sedang dalam proses menaiktaraf keupayaan Sistem Pengolahan Perindustrian Efluen(SPEP) supaya kejadian seperti ini tidak akan berulang di masa hadapan.

Untuk rekod, syarikat tersebut juga pernah disabitkan di Mahkamah yang sama dan dihukum dengan denda Rm10,000 pada 12 Oktober 2021 bagi kesalahan di bawah Peraturan 4(2) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 iaitu melakukan perubahan terhadap Sistem Pengolahan Perindustrian Efluen(SPEP) tanpa mengemukakan pemberitahuan bertulis kepada Jabatan Alam Sekitar.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD