fb fb fb fb fb

Rayuan akhir ditolak, lelaki bakar pusat tahfiz kekal dipenjara

Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara terhadap seorang lelaki selepas disabitkan atas kesalahan membunuh 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah dalam kebakaran, tujuh tahun lalu

PUTRAJAYA, 21 Mac - Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara terhadap seorang lelaki selepas disabitkan atas kesalahan membunuh 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah dalam kebakaran, tujuh tahun lalu.

Susulan itu, lelaki berusia 23 tahun itu akan dipenjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Panel tiga hakim terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat serta hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Sri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Nordin Hassan sebulat suara menolak rayuan akhir pemuda itu untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara.

Seorang lagi rakannya yang berusia 22 tahun kekal dilepas dan dibebaskan atas tuduhan sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Dalam kejadian pada 14 September 2017, seramai 21 pelajar dan dua guru terkorban dalam kebakaran di asrama pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN