fb fb fb fb fb

Rakaman CCTV hotel, analisis laporan forensik warga Israel diserahkan 30 Julai

Lelaki warga Israel Avitan Shalom miliki ratusan peluru dan 6 pucuk pistol/Foto RASTWIN

KUALA LUMPUR, 28 Jun - Pihak pendakwaan membabitkan kes lelaki warga Israel yang dituduh memiliki ratusan peluru dan memperdagangkan enam pucuk pistol akan menyerahkan salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel dan analisis laporan forensik kepada pihak pembelaan pada 30 Julai depan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam membuat permohonan tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Norina Zainol Abidin ketika sebutan semula kes di Mahkamah pagi ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya sudah menyerahkan majoriti dokumen kepada peguam yang mewakili Avitan Shalom.

Pihak Pembelaan yang diketuai Datuk Naran Singh mengesahkan perkara berkenaan dan tidak membantah tempoh masa yang dimohon pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Julai depan bagi sebutan semula kes dan serahan baki dokumen.

Terdahulu, tertuduh Avitan dibawa ke mahkamah dengan kawalan ketat polis kira-kira pukul 9.27 pagi sebelum dibawa keluar setengah jam kemudian.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9x19 (Nombor Siri AEGS286), Sig Sauer P3205P (Nombor Siri 58C283463), Cougar 8000FT (Nombor Siri T6429-10G002496), Glock 17 Gen4 Austria 9x19 (Nombor Siri: BDZZ090), M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA (Nombor Siri: DSW9077) dan Stoeger Cougar 8000F (Nombor Siri T6429-08-A029304).

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, pada Mac lalu.

Avitan melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.

GRACE AISYAH KEDAYAN