fb fb fb fb fb

Warga emas rugi RM177,000 akibat 'phone scam'

Foto Hiasan

TAIPING, 28 Jun- Seorang lelaki warga emas di Taiping kerugian RM177,000 selepas menjadi mangsa sindiket penyamaran pihak berkuasa atau 'phone scam'.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menerusi kenyataan memaklumkan mangsa berusia 72 tahun diperdaya menerusi panggilan telefon daripada seorang suspek yang mengaku sebagai wakil Kementerian Komunikasi berhubung kes penggubahan wang haram.

"Mangsa telah diarah oleh seorang lagi lelaki lain yang menyamar sebagai anggota polis untuk memberikan nombor kad ATM dan nombor pin bagi tujuan semakan.

"Mangsa yang mempercayai arahan itu telah membuat lima kali transaksi bayaran ke dalam lima akaun berbeza selepas dijanjikan wang itu akan dikembalikan setelah siasatan selesai," katanya.

Mohd Yusri berkata mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal menghubungi lelaki terbabit bagi mendapatkan wangnya semula.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan nombor yang tidak dikenali.

ZEHRA BINTI ZAMBRI