fb fb fb fb fb

Gangguan seksual ketika temu ramah, polis siasat dakwaan pengamal media

Saifuddin Nasution Ismail

SUNGAI BAKAP, 4 Julai- Polis akan menjalankan siasatan berhubung kes gangguan seksual terhadap pengamal media ketika menjalankan tugas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dipandang serius dan tindakan sewajarkan akan diambil terhadap pelaku.

"Hari ini baru pertama kali saya dengar mengenai kes itu. Sebelum ini, berita itu tidak sampai kepada saya, mungkin sebab saya sibuk berkempen.

"Jika laporan sudah dibuat, saya beri jaminan bahawa ia sepenuhnya bawah autoriti (kuasa) polis, guna peruntukan undang-undang sedia ada, buatlah siasatan secara profesional, ikut jalur undang-undang," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Perpaduan di sini.

Semalam, seorang pengamal media didakwa berdepan gangguan seksual oleh seorang lelaki ketika sedang menemu ramah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam kejadian itu, mangsa merasakan gegaran selama dua minit dibelakangnya dipercayai melakukan perbuatan tidak senonoh.

Laporan berkaitan kejadian tersebut telah dibuat oleh pengamal media berkenaan.

SITI AISHAH MD ISA