fb fb fb fb fb

Polis tahan suspek rompak wanita dengan bersenjatakan gunting

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 24 November - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki merompak seorang wanita dengan bersenjatakan gunting di sebuah rumah di Puchong Utama, Puchong kira-kira 9.00 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat dalam kenyataan berkata, suspek berumur 25 tahun itu ditahan di kawasan Puchong Permai kira-kita pukul 2.00 pagi, kurang 24 jam selepas melakukan jenayah itu.

Beliau berkata suspek dipercayai memasuki rumah terbabit seorang diri melalui pintu depan menyebabkan mangsa yang berada di dalam rumah itu ketakutan dan menjerit meminta pertolongan.

"Seterusnya, suspek memasukkan (menyumbat) baju ke dalam mulut serta mengikat tangan mangsa kemudian menyelongkar keseluruhan rumah. Suspek mengambil satu bentuk cincin emas, wang tunai RM600 dan satu unit telefon bimbit jenis Oppo A59 warna hitam seterusnya melarikan diri.

"Hasil siasatan mendapati rumah itu diduduki oleh empat wanita warga asing. Semasa kejadian, mangsa berseorangan di dalam rumah tanpa mengunci pintu dan suspek telah masuk dengan bersenjatakan sebilah gunting," katanya.

Suspek telah direman selama enam hari bermula hari ini hingga 29 November untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu kesalahan merompak dengan bersenjata atau rompak serta mencuba menyebabkan kematian atau cedera parah.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu supaya tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya menerusi talian 03-78627222 atau Pegawai Penyiasat Insp Muhammad Fathurrahman Ampandi 011-29395178.

TETITIA YUSOFF