fb fb fb fb fb

Polis tahan semula suspek culik kanak-kanak

Foto hiasan

JOHOR BAHRU, 4 Ogos- Polis menahan semula suspek lelaki yang disyaki menculik kanak-kanak Albertine Leo Jia Hui berusia enam tahun di kawasan Eco Galleria, Iskandar Puteri pada 20 Julai lepas.

Ketua Polis Johor Komisoner M. Kumar dalam satu kenyataan berkata, ia susulan penemuan pelbagai alat mainan seks, bahan pornografi dewasa dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak di kediaman suspek di Kulai.

"Siasatan dijalankan bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan," katanya.

Suspek yang ditangkap bersama-sama mangsa di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor pada 23 Julai lepas akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Terdahulu, tempoh reman lelaki berusia 31 tahun itu selama 13 hari bagi siasatan kes penculikan tamat hari ini dan dia dibebaskan dengan jaminan polis sebelum ditahan semula.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI