fb fb fb fb fb

JPJ Perlis sita 10 buah lori bawa muatan berlebihan

JPJ menjalankan sekatan jalan raya menerusi Ops Kenderaan Perdagangan di Perlis/Foto JPJ Perlis

KANGAR, 4 Ogos - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis menyita 10 kenderaan berat yang dikesan membawa muatan secara berlebihan di laluan utama Kilometer (KM) 26 Jalan Changlun - Kuala Perlis menerusi Ops Kenderaan Perdagangan di negeri ini.

Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata jumlah itu merupakan operasi yang direkodkan bermula sejak 1 Ogos hingga semalam.

Katanya, operasi khas JPJ Perlis berjaya memintas lori-lori tersebut yang membawa muatan simen sebanyak 800 beg dan arang batu, pasir selica serta batu kerikil.

"Operasi ini memfokuskan kesalahan yang dilakukan oleh pengusaha dan pemandu lori yang membawa muatan secara berlebihan dan kesalahan berkaitan teknikal kenderaan.

"JPJ telah mengeluarkan Notis Saman kepada pemandu yang membawa muatan secara berlebihan kurang daripada 35 peratus mengikut Kaedah 89 Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Manakala bagi kes pemandu yang membawa muatan melebihi 35 peratus pula mereka disiasat mengikut Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

"Sekiranya disabitkan dengan kesalahan pemilik kenderaan perdagangan ini boleh dikenakan hukuman denda sebanyak tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM500,000 mengikut akta yang sama," tambahnya.

OPS Kenderaan Perdagangan ini dilaksanakan secara serentak di seluruh negara sehingga 31 Ogos ini.

Dalam tempoh 3 hari operasi berjalan, sebanyak 1,500 buah kenderaan perdagangan diperiksa dan sebanyak 150 notis dikeluarkan kepada pemilik dan pemandu kenderaan bagi pelbagai kesalahan.

GRACE AISYAH KEDAYAN