fb fb fb fb fb

Polis tahan pemilik akaun TikTok disyaki ugut, fitnah pempengaruh wanita

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 8 Julai- Seorang wanita ditahan di Rawang, Selangor bagi membantu siasatan kes ugutan seorang pempengaruh media sosial menerusi aplikasi TikTok.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, wanita berusia 35 tahun itu disyaki melakukan ugutan terhadap mangsa yang dikenali sebagai Rajeswary atau Esha.

Beliau berkata pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki tempatan berhubung kejadian yang dipercayai berlaku antara 30 Jun hingga 1 Julai lalu.

Dua hantaran menerusi aplikasi TikTok dikesan pengadu mengandungi ugutan dan ancaman kepada mangsa serta turut menggunakan kata-kata kesat.

Hasil semakan polis, tohmahan dan fitnah yang dilaporkan berdasarkan tangkap layar yang dikemukakan pengadu telah dipadam oleh dua pemilik akaun media sosial tersebut.

Wanita yang juga seorang pembantu rumah jagaan orang tua itu direman hingga Rabu ini untuk membantu siasatan.

Sukarno berkata, pihaknya kini sedang mengesan seorang lagi pemilik akaun TikTok yang terbabit dalam kes ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (Ugutan Jenayah), Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (Kelakuan Aib).

 

ROSLINA BINTI DIN