fb fb fb fb fb

Polis siasat kes bayi cedera didera pengasuh taska

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 3 Jun- Polis mengesahkan kejadian seorang bayi perempuan berusia 17 bulan mengalami kecederaan di bahagian muka dipercayai akibat didera pengasuh di sebuah pusat asuhan di Bandar Mahkota Cheras, Kajang.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan menerusi satu kenyataan memaklumkan pihak polis menerima laporan berhubung kejadian terbabit daripada ayah bayi itu yang berusia 26 tahun, pada pukul 7.36 malam.

Beliau berkata pengadu memaklumkan, semasa hendak mengambil anaknya di pusat asuhan itu, seorang guru atau pengasuh mendakwa anaknya telah diperlakukan dengan kasar oleh seorang guru lain ketika disuap makan sambil ditarik rambut serta dipicit hidungnya sehingga mengakibatkan hidung bayi itu mengalami kecederaan.

“Oleh sebab tidak berpuas hati dengan layanan dan perbuatan guru berkenaan, pengadu telah memberhentikan anaknya daripada dihantar ke pusat asuhan itu.

“Hasil pemeriksaan dan rawatan yang dibuat terhadap anak pengadu (mangsa) di sebuah hospital, pegawai perubatan mengesahkan anak pengadu mengalami 'soft tissue injury'. Sehubungan dengan itu, pengasuh terbabit telah dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya dalam kenyataan hari ini..

Beliau berkata hasil siasatan lanjut juga mendapati pusat asuhan berkenaan telah beroperasi hampir tiga bulan tetapi dipercayai masih belum mempunyai lesen pengoperasian yang sah.

Mohd Zaid berkata ketika ini, terdapat sembilan kanak-kanak di pusat asuhan itu dan tiga penjaga atau pengasuh merangkap guru di situ.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE