fb fb fb fb fb

Polis siasat bekas Ahli Parlimen berhubung kes gangguan seksual

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 18 Ogos- Polis membuka kertas siasatan terhadap bekas Ahli Parlimen yang disyaki terlibat dalam kes gangguan seksual terhadap seorang wanita di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shahrulnizam Ja'afar berkata mangsa berusia 20-an telah membuat laporan polis pada 6 Ogos lalu yang mendakwa beliau diganggu secara seksual sebanyak dua kali oleh suspek ketika berada di pasar raya itu.

"Pihak kami mengesan satu video tular di media sosial berdurasi 18 saat berhubung dakwaan itu pada 2 petang tadi.

"Siasatan terperinci dilakukan mengikut Seksyen 507 A dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shahrulnizam berdasarkan siasatan, pihaknya mendapati suspek bertugas di sebuah syarikat badan berkanun dan berjawatan pengarah bukan eksekutif.

"Polis akan merakam keterangan lelaki itu bagi membantu siasatan dan individu yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222," ujarnya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI