fb fb fb fb fb

Lelaki Nepal maut bergaduh di asrama pekerja kilang

Foto Hiasan

KUALA KURAU, 18 Ogos-Seorang lelaki warga Nepal meninggal dunia dipercayai terlibat dalam pergaduhan di sebuah asrama pekerja di Kuala Kurau, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai pergaduhan itu kira-kira jam 12.35 tengah malam.

Beliau memaklumkan mangsa berusia 28 tahun terbunuh akibat tusukan daripada objek tajam.

"Hasil siasatan awal pihak polis mendapati pergaduhan tercetus antara sekumpulan warga asing dari Myanmar dan Nepal ini berpunca akibat rasa tidak puas hati kerana membuat bising," katanya dalam satu kenyataan.

Juna berkata, kedua-dua kumpulan warga asing itu bekerja di sebuah kilang yang sama.

Katanya, susulan kejadian itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian menahan 21 orang yang terlibat dalam pergaduhan itu bagi membantu siasatan.

Jelasnya, pihak polis juga sedang mengesan seorang lelaki warga Myanmar berusia 38 tahun dipercayai turut terlibat dalam pergaduhan yang menghilangkan diri selepas kejadian itu.

Sehubungan itu, polis memohon bantuan orang ramai menghubungi IPD Kerian di talian 05- 721 5222 atau mana-mana balai polis terdekat bagi menyalurkan maklumat lanjut.

Juna turut mengingatkan orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI