fb fb fb fb fb

Polis Selangor cekup 10 tokan dadah, rampas 327kg dadah

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (paling kanan) menunjukkan dadah yang dirampas selepas sidang media

SHAH ALAM, 9 November- Polis Diraja Malaysia menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis heroin, heroin base dan methamphetamine seberat 327 kilogram bernilai RM10.39 juta di Selangor.

Dalam operasi itu, seramai 10 individu berusia 18 hingga 44 tahun ditahan dalam dua lokasi berasingan di Klang dan Sungai Buloh pada 2 hingga 3 November lalu.

Di salah satu lokasi, polis telah menjumpai 109 paket plastik lutsinar berisi heroin dan lapan paket plastik methamphetamine ditanam di kandang kambing di Kapar, Klang.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, kedua-dua operasi itu melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, JSJN Bukit Aman, JSJN Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Shah Alam.

"Keseluruhan heroin base lebih 15,498 gram boleh menghasilkan lebih kurang 166,526 gram heroin, jumlah keseluruhan 216,051 gram heroin dan 261,766 gram methamphetamine boleh dibekalkan kepada 2.38 juta penagih dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.2 gram,"katanya.

Hussein menambah, selain itu, dadah jenis methamphetamin turut dijumpai dalam 241 bungkusan plastik kekuningan bertulis 'Daguanyin Refined Chinese Tea' di dalam sebuah kereta di Puncak Alam.

Beliau berkata, dalam kedua-dua kes itu, pihaknya juga telah menyita enam buat kereta serta satu akaun bank bernilai RM269,229.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai 3 dan 4 November bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE