SARATOK, 20 Oktober - Polis Saratok menahan seorang lelaki tempatan yang berkeliaran dalam keadaan mencurigakan di pekan Saratok.
Menurut Ketua Polis Daerah Saratok, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Mathew Manggie, lelaki berumur 46 tahun itu ditahan Ahad lepas oleh pasukan petugas khas susulan maklumat diterima daripada orang awam.
"Lelaki tersebut kemudiannya dibawa ke Balai Polis Saratok untuk ujian air kencing serta pemeriksaan rekod jenayah.
"Keputusan saringan air kencing mendapati lelaki tersebut positif dadah, serta mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya menerusi kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.