fb fb fb fb fb

Polis sahkan tiada unsur buli dalam kes tikam pelajar perempuan

Pasukan polis berada di lokasi kejadian/Foto Rastwin

PETALING JAYA, 14 Oktober – Polis mengesahkan tiada unsur buli dalam kejadian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut akibat ditikam rakan sekolahnya di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Shamsudin Mamat, suspek yang juga pelajar lelaki berusia 14 tahun dari sekolah sama ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Setakat ini, saya mengesahkan berdasarkan siasatan yang dijalankan, tiada unsur buli dikesan.

"Guru yang menyedari kejadian berkenaan dikatakan terdengar jeritan dan cuba membantu, namun insiden telah pun berlaku.

"Polis turut merampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, tengah hari tadi.

Terdahulu, media melaporkan kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 9.10 pagi di kawasan tandas pelajar perempuan di sekolah berkenaan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat beberapa tikaman pada bahagian badan.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.

Beliau menjelaskan kes tersebut melibatkan seorang mangsa.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menimbulkan kegusaran awam," katanya.

BERITA BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN