fb fb fb fb fb

Polis Perak tumpaskan sindiket dadah, dua lelaki ditahan bersama seguni heroin

Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas

IPOH, 6 Mei- Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah susulan menahan dua lelaki warga tempatan dan merampas dadah jenis heroin bernilai lebih RM200,000 dalam tangkapan di Simpang, Taiping, Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kedua-dua suspek tersebut yang berusia 41 dan 47 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Kontinjen Perak pada pukul 11.15 malam, 3 Mei lalu.

Jelasnya, hasil pemeriksaan di dalam sebuah kereta yang dinaiki kedua-dua suspek itu, pihak polis menjumpai satu guni berwarna putih dan di dalamnya terdapat 46 bungkusan plastik lutsinar, setiap satu bungkusan mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin.

"Berdasarkan siasatan yang dijalankan sindiket ini dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Februari 2024, dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan di negeri Perak.

"Jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan untuk seramai 20,000 orang penagih, ini adalah jumlah yang amat besar,"katanya.

Tambahnya, ujian saringan awal air kencing mendapati, kedua-dua suspek positif dadah jenis Morphine dan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek direman selama enam hari bermula 4 hingga 9 Mei bagi membantu siasatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE