JOHOR BAHRU, 12 Mei - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas 914,600 batang rokok seludup bernilai RM1.37 juta selepas menyerbu sebuah pondok di Pantai Bio, Desaru, Kota Tinggi, di sini pada 7 Mei lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata serbuan menerusi Ops Taring Landai itu dilakukan Unit Risik Marin (URM) PPM Wilayah Dua Pengerang, pada pukul 9 malam.
Beliau berkata, seorang suspek lelaki dipercayai penjaga pondok sempat melarikan diri ketika serbuan dilakukan.
Sindiket dikesan menyasarkan waktu air pasang untuk mendaratkan rokok tersebut manakala lokasi pemunggahan dibuat secara berpindah randah di pesisir pantai Johor.
"Ada dua (modus operandi) mungkin sekali gus atau mungkin beberapa kali. Maksudnya dia datang dan berhenti di situ dan kemudian dia letak barang-barang dan kemudian dia keluar dan datang balik. Tetapi daripada maklumat yang kita dapat ialah sindiket ini tidak mengkhususkan sesuatu tempat untuk mendarat.
"Pihak Polis Marin sudah pun menghidu kegiatan ini dua ke tiga minggu sahaja dan kami terus melancarkan operasi dan inilah kejayaan hasil operasi tersebut," katanya pada sidang media di sini.
Tambah Kumar, rokok tersebut disyaki diseludup daripada negara jiran melalui laluan laut sebelum mendarat di perairan Kota Tinggi untuk pasaran tempatan.
Sebuah kenderaan turut dirampas pada serbuan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967.