JOHOR BAHRU, 13 Mei - Polis Johor berjaya merampas rokok dan minuman keras seludup di negeri itu dengan nilai RM4.16 juta, sejak Januari hingga semalam, berbanding RM5.9 juta untuk tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Johor Komisioner M. Kumar berkata, jumlah itu melibatkan kira-kira RM2.16 juta nilai rampasan rokok dan RM1.99 juta minuman keras.
"Sebanyak 21 tangkapan direkodkan bagi kesalahan kontraban mengikut Akta Kastam 1967 Arak dan Rokok tahun ini," menurutnya pada sidang media di Markas PPM Wilayah Dua, Tampoi, di sini.
Manakala 44 kes tangkapan telah dihasilkan tahun lalu.
Dalam pada itu rampasan 5,535 karton rokok seludup bernilai RM1.37 juta termasuk cukai dilakukan dalam serbuan Ops Taring Landai di sebuah pondok di Pantai Bio, Desaru, Kota Tinggi pada Selasa lalu.
“Hasil siasatan, pondok itu dipercayai dijadikan tempat pemunggahan dan pihak berkuasa berjaya menemui sebanyak 5,535 karton rokok mengandungi 914,600 batang putih", katanya.
Kereta Perodua Kembara dengan anggaran RM20,000 turut dirampas.
Tambah beliau, hasil siasatan mendapati rokok itu disyaki diseludup dari negara jiran melalui laluan laut sebelum mendarat di perairan Kota Tinggi untuk pasaran tempatan.