PONTIAN, 14 Mei- Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Johor berjaya merampas 1,683 liter minuman keras tiruan, bernilai kira-kira RM500,000, di sebuah premis kilang memproses dan menyimpan minuman keras, di Pontian, semalam.
Serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam, dan intipan selama seminggu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, empat lelaki warga asing berusia antara 27 hingga 42 tahun turut ditahan, dipercayai pekerja premis.
Kesemua yang ditahan itu juga didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Sejumlah kotak berwarna coklat disyaki berisi minuman keras tiruan, peralatan memproses dan mengisi minuman keras di dalam botol, serta sebuah kereta dirampas.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM508,265.06.
Kes disiasat mengikut seksyen 3(1) Akta Memperbaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.