fb fb fb fb fb

Polis Kedah terima 207 laporan kes samun sejak Januari

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh


ALOR SETAR, 27 Oktober- Polis Kedah menerima 207 laporan berkaitan kejadian samun yang berlaku di negeri itu sejak Januari lalu.
 
Daripada jumlah itu, 77 kes berjaya diselesaikan manakala 20 lagi adalah laporan palsu.
 
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata dalam kes laporan palsu, mangsa membuat laporan polis mendakwa mereka disamun hingga menyebabkan kehilangan barangan peribadi dan dokumen penting termasuk kad pengenalan.
 
Beliau berkata, laporan tersebut dipercayai dibuat bagi membolehkan mereka memohon kad pengenalan yang baharu.
 
Namun jelasnya, hasil siasatan yang dilakukan mendapati, keterangan mangsa meragukan dan kejadian samun sebenarnya tidak berlaku. 
 
Sebaliknya, laporan berkenaan dibuat selepas individu terbabit kehilangan kad pengenalan atas kecuaian sendiri dan bagi mengelakkan dikenakan denda atau penalti oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat kad pengenalan yang baharu.
 
"Pelaku tidak sedar nanti apabila polis siasat laporan yang dia dibuat mengatakan dia disamun, bila kita membuat penyiasatan rupanya palsu dan bila laporan palsu kita akan ambil tindakan bawah Seksyen 182 dan sesetengah daripada mereka merupakan golongan pelajar.

"Jadi jika didapati bersalah sekali gus akan menjejaska masa depan mereka kerana ada rekod jenayah,"katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada sidang media di Ibupejabat Polis Kontinjen, IPK Kedah di Jalan Stadium Alor Setar.
 
Mereka yang membuat laporan palsu serta memberikan maklumat palsu boleh didakwa dibawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE