KUALA LUMPUR, 26 Oktober- Lebih 125,000 laporan polis kes jenayah komersil diterima sejak Januari sehingga 22 Oktober tahun ini, membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM1.7 bilion.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata daripada jumlah itu sebanyak 33,269 kertas siasatan telah dibuka.
Beliau berkata jumlah kerugian yang dicatatkan tahun ini meningkat sebanyak 20 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Sepanjang minggu kajian, 16 hingga 22 Oktober lalu, sebanyak 891 kertas siasatan dibuka melibatkan pelbagai kategori kesalahan jenayah komersial.
"Daripada jumlah 891 itu, kes-kes jenayah komersial bersindiket mencatat sejumlah 620 kes bersamaan 69.6 peratus,” katanya.
"Kes penipuan belian secara dalam talian mencatatkan jumlah kes tertinggi bagi minggu kajian iaitu 257 kes dengan kerugian RM3,864,667.98. Kes penipuan pelaburan turut mencatatkan jumlah kes yang tinggi iaitu 156 kes melibatkan kerugian RM21 juta.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di ibu negara.