fb fb fb fb fb

Polis Johor tumpaskan sindiket dadah guna kereta jadi stor simpanan

Datuk M. Kumar menunjukkan dadah yang dirampas / FOTO RTM

JOHOR BAHRU, 29 September- Satu sindiket pengedaran dadah menggunakan kenderaan sebagai stor dadah bergerak di Johor, ditumpaskan menerusi dua serbuan di Kulai dan Skudai, Johor Bahru 25 September lalu. 

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, operasi kira-kira pukul 9 malam itu turut berjaya merampas, 67,912 gram dadah pelbagai jenis, bernilai RM309.192.

Antara rampasan, 55 ketulan ganja, 26 bungkusan heroin, tiga paket shabu, 150 biji pil ekstasi dan 70 biji pil eramin 5.  

Dalang sindiket turut disyaki terdiri antara empat suspek lelaki tempatan yang ditahan dalam serbuan, berumur 29 hingga 49 tahun. 

"Modus operasi sindiket ini adalah menjadikan kenderaan sebagai stor simpanan maksudnya barang-barang dan dadah yang kita rampas ini akan disimpan dalam kenderaan mereka dan kemudiannya diedarkan kepada sindiket di pasaran tempatan. Pengedaran dibuat di kawasan yang dikenal pasti sebagai sarang dadah," katanya.

Kesemua suspek mempunyai rekod bersabit kes jenayah dan dadah manakala saringan ujian air kencing mendapati dua daripada mereka, positif metafetamin.

Bekalan dadah yang diperoleh daripada Kuala Lumpur itu boleh digunakan oleh seramai 115,712 penagih. 

Turut disita, dua buah kenderaan sindiket, sebuah motosikal, seutas rantai leher dengan nilai keseluruhan RM120,173.

Sindiket dipercayai aktif sejak Mei lalu, serta berselindung disebalik kondominium berpagar dan berpengawal.

Keempat-empat suspek direman sehingga 2 Oktober dan kes disiasat mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE